Monday, 19 December 2011

MEWARNA BANNER PERMUAFAKATAN IBU BAPA & GURU (PIBG) PPKI

29 Jun 2011~Secara tradisinya, daerah Sipitang akan merayakan pesta GATA Sipitang iaitu satu pesata yang diraikan sekali pada setiap dua tahun. GATA merupakan singkatan nama bagi Gasing dan Tamu Besar Sipitang.

Atas cadangan Tuan Pengerusi serta persetujuan majoriti ahli-ahli PIBG yang lain, PIBG PPKI SK.Pekan Sipitang telah mengambil keputusan untuk terlibat sama dengan perayaan pesta GATA Sipitang tahun 2011 untuk tujuan menambah dana tabung PIBG yang sedia ada. Oleh itu, sebuah gerai telah ditempah khas untuk ibu bapa PPKI menjalankan aktiviti berjual beli pada sepanjang masa pesta GATA yang berlangsung pada 30 Jun hingga 3 Julai 2011.

Guru-guru PPKI SK.Pekan Sipitnag juga tidak ketinggalan untuk terlibat sama dengan aktiviti tersebut, justeru itu guru-guru PPKI telah diberikan tanggungjawab untuk menghasilkan banner PIBG yang akan dipamerkan di gerai PIBG PPKI. 











Cikgu Fauziah Banu, Cikgu Najib dan Cikgu Fridorine turut bekerjasama mewarnakan huruf-huruf pada banner.


Mewarnakan banner dengan warna pelaka nampak senang, tetapi sebenarnya memerlukan ketelitian yang tinggi. 

Tetap tersenyum walaupun kerja perlu diselesaikan dengan segera.


Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada guru-guru dan kakitangan PPKI yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan untuk gerai PIBG PPKI SK.Pekan Sipitang sempena pesta Gata Sipitang 2011. Semoga segala usaha, hasrat dan rancangan dapat dicapai dengan jayanya pada akhir pesta tersebut.


KOKUM PERMAINAN DALAMAN (SAIDINA) 15 JUN 2011

Sekali lagi pada 15 Jun 2011 (Rabu), semua guru, kakitangan dan murid-murid PPKI terlibat dengan KOKUM Permainan Dalaman yang seperti biasa dikendalikan oleh penyelaras PPKI SK.Pekan Sipitang iaitu Cikgu Mohd.Najib.

Permainan dalaman yang telah diperkenalkan kepada murid-murid PPKI pada hari tersebut adalah permainan Saidina iaitu sebuah permainan berpapan seperti permainan Monopoly. Tujuan permainan Saidina adalah membeli hartanah dan mendapaykan keuntungan dan menjual semula atau menyewakan kekayaan para pemain berlipat ganda. 

Sesi penerangan permainan dalaman Saidina kepada murid-murid PPKI oleh Cikgu Mohd.Najib.




Selesai sahaja sesi penerangan tentang tujuan dan cara bermain Saidina, murid-murid PPKI kembali ke kelas masing-masing untuk mencuba cara bermain permainan Saidina dengan lebih lanjut.

Murid-murid PPKI kelas Cempaka sedia memulakan permainan Saidina yang telah disediakan oleh Cikgu Mohd. Najib.




Bukan berselisih faham...murid kelas Cempaka sedang mendengar penjelasan daripada adik Karulazuan tentang giliran siapa membaling dadu.

Cikgu Mohd.Najib sedang membimbing murid-murid kelas Mawar bermain Saidina.

Murid-murid kelas Teratai iaitu murid PPKI Tahap 1 sedang menyiapkan lembaran kerja yang telah diedarkan.


Murid-murid kelas Melati yang telah menyiapkan lembaran kerja yang telah diberikan sedang menonton kartun di komputer, manakala murid kelas Melati yang belum menyiapkan kerja dibantu oleh guru agar kerja yang diberikan dapat disiapkan dengan baik.



Secara keseluruhannya permainan Saidina yang dikendalikan oleh Cikgu Mohd.Najib pada hari tersebut berjaya memberikan satu pengalaman dan pengetahuan baru kepada murid-murid PPKI. Diharap agar kemahiran baru yang baru sahaja dipelajari di kalangan murid ini dapat terus menarik perhatian murid dari semasa ke semasa.



Tuesday, 6 December 2011

myMetro | Mereka kelihatan normal tetapi...

myMetro | Mereka kelihatan normal tetapi...



TUNJUK BAKAT...Noor Luqman teruja melihat hasil lukisannya sambil diperhatikan ibunya, Azlyn.
TUNJUK BAKAT...Noor Luqman teruja melihat hasil lukisannya sambil diperhatikan ibunya, Azlyn.

MELIHAT kepada fizikal kanak-kanak ini tiada apa yang membezakan mereka berbanding rakan seusia.

Mereka girang apabila mendapat permainan, ketawa apabila diagah dan aktif ke sana sini.

Foto
  • TUNJUK...Nuraihan Hamsiah dan suami, Mohammad Yusri memerhatikan anak mereka, Muhammad Amar leka melukis di atas papan putih.

  • Foto

    BEGINI...Siti Hasma membantu Farhan menulis.

Malah, rata-rata mereka memiliki kreativiti tersendiri apabila boleh melukis dan mewarna dengan baik.

Namun apabila diajak berkomunikasi sama ada lisan atau bukan lisan, kanak-kanak ini agak lambat berbanding rakan seusia yang sudah petah berkata-kata.


Dalam sesetengah keadaan, mereka melakukan tingkah laku berulang-ulang dan obsesi melampau.


Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak autisme dilabel sebagai bodoh, degil, berkelakuan pelik, mementingkan diri dan berkemungkinan besar tercicir dalam pelajaran.

Bagi ibu bapa, mereka mula mengenali tanda autisme apabila anak gagal berinteraksi dengan sempurna. Seawal bayi lagi, anak yang mempunyai masalah autisme tidak memberi tindak balas atau fokus kepada sesuatu benda dalam jangka masa yang lama. Kanak-kanak yang mempunyai autisme kelihatan seperti anak-anak normal namun mempunyai kekurangan komunikasi sosial.

Perkara ini diakui oleh Siti Hasma Ishak yang mula menyedari kekurangan anaknya Farhan Majidi, 4, ketika anaknya berusia dua tahun.

Pada usia yang sepatutnya dia sudah boleh bercakap, Farhan tidak mampu menyebut walau sepatah perkataan termasuk ibu atau ayah.

“Saya mengesyaki sesuatu yang ganjil pada Farhan apabila dia turut mengalami masalah pendengaran dan suka berjinjit kaki. Selepas berjumpa pakar kanak-kanak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), doktor memberitahu Farhan adalah kanak-kanak autisme dan memerlukan rawatan fisioterapi,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik ini juga seorang yang hiperaktif.

Dia gemar membaling barang dan berguling di lantai apabila kemahuannya tidak dipenuhi. Bagi meredakan keadaan Farhan, ibunya terpaksa memujuk dengan memegang dan menenangkan dirinya supaya dia tidak menjadi lebih agresif sehingga mencederakan dirinya.

Menurut Siti Hasma, memiliki anak autisme bermakna seorang ibu itu mempunyai tanggungjawab yang besar terutama daripada segi masa dan memberi sepenuh tumpuan kepada mereka.

“Oleh kerana mereka tidak mampu berkomunikasi dengan baik, kita tidak tahu apa yang ada dalam fikiran mereka. Oleh sebab itu kanak-kanak ini mudah memberontak, mengamuk dan membaling barang apabila kemahuan mereka tidak dituruti,” katanya yang sanggup berhenti kerja semata-mata mahu memberi sepenuh perhatian kepada Farhan.

Bagi mendapatkan gambaran yang jelas mengenai autisme, Siti Hasma banyak mendapatkan maklumat menerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) dan menghantar anaknya bagi mendapatkan pembelajaran di sana.

“Sejak Mei lalu saya menghantar anak ke Nasom dan Farhan mula menunjukkan perkembangan positif apabila mula menyebut perkataan walaupun kurang jelas. Dia juga mula memahami dan mengikut arahan,” katanya.

Bagi Siti Hasma, memiliki anak autisme melatih ibu menjadi lebih sabar dan sentiasa mensyukuri nikmat Tuhan.

Ibu bapa tidak boleh malu dan harus mendedahkan anak mereka sama seperti insan normal lain.

“Saya berharap Farhan dapat memiliki pendidikan sama seperti kanak-kanak lain.
Saya akan cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik kepadanya supaya dia tidak berasa rendah diri dan memikirkan mengenai kekurangan yang ada padanya,” katanya.

Bagi Mohammad Yusri Adam, 34, dan isterinya Nuraihan Hamsiah Abdul Salam, 33, mereka hanya mampu mengesan keistimewaan anaknya Muhammad Amar Lutfi, 6, ketika dia berusia dua tahun.

“Pada masa itu saya risau melihat Amar yang masih belum bercakap sedangkan rakan seusia sudah mampu bertutur lancar. Malah, untuk menyebut perkataan mama dan abah juga sangat susah,” katanya.

Selepas dibawa menemui pakar kanak-kanak di Johor, doktor memberitahu Amar termasuk di kalangan kanak-kanak penghidap autisme dan memerlukan pemantauan rapi.

Menurut Yusri, pada mulanya dia sukar menerima kenyataan.

Tambah pula apabila melihat wajah serta fizikal Amar yang tiada cacat celanya.

Dia sama seperti kanak-kanak normal cuma mempunyai tahap komunikasi yang sangat rendah selain seorang yang sangat aktif.

“Pernah satu ketika saya melihat Amar menyusun permainan dengan begitu cantik dan rapi sekali.

“Malah, dia mempunyai kebolehan dan sangat fokus pada sesuatu benda sehingga terlalu obses dengannya.

“Dia juga gemar melakukan perbuatan berulang-ulang seperti menghayun atau memusing-musingkan badan atau keadaan yang lebih berbahaya seperti menggigit atau menghantuk kepala. Saya tidak sangka ini adalah antara tanda autisme,” katanya.

Bagaimanapun, Yusri bersyukur kerana Amar mempunyai tahap autisme yang sangat rendah iaitu pada komunikasi saja.

Oleh itu dia berusaha sebaik mungkin membantu Amar dengan menghantarnya ke sekolah supaya dia tidak berasa rendah diri.

“Saya mempunyai beberapa pilihan sekolah, tetapi selepas mendengar nasihat doktor wsaya memilih Nasom kerana sistem pembelajaran di sana lebih bagus dan mereka memahami apa yang diperlukan kanak-kanak autisme,” katanya.

Melihat keadaan anaknya yang sering bertindak di luar dugaan, Yusri mengakui bapa harus sama membantu meringankan tugas isteri.

Sering kali tugas menguruskan kanak-kanak istimewa terletak di bahu isteri manakala suami lepas tangan.

“Sepatutnya suami isteri harus berganding bahu menjaga anak autisme. Memanglah jika diikutkan suami kurang sabar berbanding isteri.

“Jadi apabila anak suka memberontak dan membaling barang ada bapa yang tidak sabar. Pada masa inilah mereka harus belajar bagaimana menanganinya dan teknik memujuk anak-anak,” katanya yang turut membantu menjaga Amar ketika isteri melakukan kerja rumah.

Bagi Azlyn Aziz, 46, dia sanggup lakukan apa saja asalkan anaknya Noor Luqman Hakim Noorazli, 9, tidak merasa tersisih dan mempunyai keyakinan diri yang rendah.

Walaupun terpaksa mengeluarkan wang menghantar anak ke sekolah dan menjalani rawatan terapi, semua itu dipastikan supaya Luqman mampu berdikari dan belajar seperti rakan seusia dengannya.

Jika dulu dia kurang bercakap, manja, takut dan berperwatakan seperti bayi, kini selepas menjalani pembelajaran di Nasom, dia menunjukkan banyak peningkatan terutama daripada segi komunikasi.

“Apabila Luqman tidak boleh bercakap walaupun usia sudah menjangkau dua tahun, ini amat merisaukan saya. Tambah pula apabila dia tidak boleh menguruskan diri dan sukar memahami arahan.

“Selepas belajar di Nasom, dia kini semakin ceria, mesra dan boleh berkomunikasi. Perubahan ini amat menggembirakan saya,” katanya yang tidak ingin melihat Luqman dibeza-bezakan dengan kanak-kanak seusia dengannya.


Saturday, 3 December 2011

KOKUM KELAB BAHASA MELAYU PPKI - 18 MEI 2011

Pada 18 Mei 2011, KOKUM kelab Bahasa Melayu PPKI telah dilaksanakan pada masa dan tempat yang sama iaitu di ruang dapur bangunan PPKI. Aktiviti yang berjalan selama sejam ini dikendalikan oleh satu-satunya guru Bahasa Melayu PPKI iaitu Cikgu Fauziah Banu Mohd.Hussain  dengan bantuan daripada guru-guru dan PPM PPKI.


Aktiviti KOKUM kelab Bahasa Melayu pada hari tersebut adalah berkaitan dengan permainan bahasa iaitu dam suku kata kv-kvkk dan dam huruf. Permainan bahasa  ini adalah penting di kalangan murid-murid PPKI terutamanya untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan murid dalam Bahasa Melayu. 


Sebagai pembuka kepada aktiviti kelab Bahasa Melayu, semua murid dan guru berdiri untuk menyanyikan lagu ABC bersama-sama.

Menyanyi sambil siap tepuk tangan lagi.

Guru-guru dan PPM PPKI turut berdiri bersama-sama menyanyikan lagu ABC.

Semangatnya murid-murid PPKI menyanyikan lagu ABC.

Sesi penerangan kepada murid oleh Cikgu Fauziah Banu tentang permainan bahasa.

Salah satu daripada permainan Bahasa Melayu adalah teka silang kata.

Permainan bahasa jejak labah-labah.

Ada murid PPKI yang angkat tangan bermaksud pernah bermain Sahibba sebelum ini.

Dam suku kata KV-KVKK.

Dam huruf.

Setelah selesai sesi penerangan tentang permainan bahasa, murid-murid kelas Melati menyiapkan tugasan mewarnakan dam huruf yang telah diedarkan oleh guru.

Shaila menunjukkan lembaran kerja dam huruf yang diberi dengan gembira.


Seperti biasa, murid-murid Teratai juga menyiapkan tugasan mewarna dam huruf yang telah diedarkan.

Bagi murid-murid kelas Cempaka dan Mawar (murid Tahap 2), mereka telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan ditugaskan untuk membuat dam suku kata dengan bahan-bahan yang telah disediakan oleh Cikgu Fauziah Banu.

Kumpulan murid lelaki kelas Cempaka (Nasriq, Karulazuan dan Izzat)...nampak macam sibuk saja.

Murid-murid kelas Mawar sedang menyiapkan dam suku kata dengan bahan yang telah disediakan.



Dam suku kata yang hampir siap. Cantik dan menarik.

Bakat melukis dan menghias oleh Karulazuan dieksplotasikan sepenuhnya ke atas dam suku kata yang hampir siap.
 


Karulazuan dan Nasriq yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan dan mencantikkan dengan bakat melukis ke atas dam suku kata kumpulan mereka.

Amboi, Shaila. Kerja mewarna hampir siap. Nampak cantik dan berwarna-warni.




Boleh dikatakan semua murid PPKI dapat memahami konsep permainan bahasa dam suku kata dan dam huruf yang telah disampaikan oleh Cikgu Fauziah Banu. 

Pada masa yang sama, murid-murid PPKI juga berasa seronok pada sepanjang aktiviti menyiapkan tugasan yang diberi kerana berpeluang menunjukkan bakat masing-masing semasa melukis dan mewarnakan dam suku kata. Selain itu, semangat bekerjasama di antara ahli jelas ditonjolkan memandangkan tugasan yang diberi oleh guru adalah tugasan berkumpulan (bagi murid Tahap 2).


KOKUM PERMAINAN DALAMAN PPKI ~ 11 MEI 2011

Aktiviti KOKUM untuk Permainan Dalaman telah dilaksanakan pada 11 Mei 2011 iaitu aktiviti yang dikendalikan oleh penyelaras PPKI, Cikgu Mohd.Najib Mohd Shafie di ruang dapur bangunan PPKI.

Pada minggu tersebut, permainan dalaman yang diajar kepada murid-murid PPKI adalah permainan congkak yang melibatkan penerangan tentang asas dan peraturan permainan congkak.

Permainan congkak merupakan satu permainan dalaman yang bukan sahaja mampu mencuri perhatian murid dan menyeronokkan, malahan merupakan satu permainan yang menyumbang kepada terapi motor halus serta merangsang kemahiran pengamatan murid ketika bermain congkak. Pada masa yang sama, bermain congkak juga dapat membantu meningkatkan kemahiran mengira serta kemahiran mencongak di kalangan murid-murid.

Sesi penerangan tentang asas dan peraturan bermain congkak.

Sesi penerangan tentang permainan congkak dikendalikan oleh Cikgu Mohd.Najib.

Cikgu Mohd. Najib menunjukkan papan congkak kepada murid-murid PPKI.

Setelah sesi penerangan tentang permainan congkak selesai, murid-murid kelas Mawar dan Teratai melakukan aktiviti menulis dan mewarna pada lembaran kerja yang telah diedarkan.

Seakilla yang tekun mewarna untuk menyiapkan tugasan yang telah diberikan.

Riduan juga sedang menumpukan sepenuh perhatian untuk menyiapkan kerja mewarna gambarajah congkak.

Sempat posing lagi...Aiman sedang mewarnakan gambarajah papan congkak pada lembaran kerja dengan bantuan daripada Cikgu Fauziah Banu.

Murid-murid kelas Teratai yang sibuk mewarnakan gambarajah congkak dengan bantuan daripada guru dan PPM.
 

Karulazuan dan Nasriq sedang bertanding bermain congkak.

Cikgu Fridorine sedang bermain congkak dengan murid-murid perempuan kelas Cempaka dan Mawar.




Nouvir (bersongkok) agaknya sedang berfikir mengatur strategi untuk mengalahkan Nasriq semasa bermain congkak nanti.


Ateka (memakai uniform BSMM) sedang mengajar Shaila bermain congkak. Baiknya Ateka, ada bakat ni jadi cikgu. :) 


Permainan dalaman congkak sememangnya berjaya menarik perhatian murid untuk melibatkan diri sepenuhnya pada sepanjang aktiviti permainan dalaman dijalankan. Adalah diharapkan murid-murid PPKI dapat menghayati permainan congkak serta mengaplikasikannya dalam aktiviti harian mereka terutamanya pada masa lapang murid.