myMetro | Mereka kelihatan normal tetapi...
TUNJUK BAKAT...Noor Luqman teruja melihat hasil lukisannya sambil diperhatikan ibunya, Azlyn.
MELIHAT kepada fizikal kanak-kanak ini tiada apa yang membezakan mereka berbanding rakan seusia.
Mereka girang apabila mendapat permainan, ketawa apabila diagah dan aktif ke sana sini.
Malah, rata-rata mereka memiliki kreativiti tersendiri apabila boleh melukis dan mewarna dengan baik.
Namun apabila diajak berkomunikasi sama ada lisan atau bukan lisan, kanak-kanak ini agak lambat berbanding rakan seusia yang sudah petah berkata-kata.
Dalam sesetengah keadaan, mereka melakukan tingkah laku berulang-ulang dan obsesi melampau.
Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak autisme dilabel sebagai bodoh, degil, berkelakuan pelik, mementingkan diri dan berkemungkinan besar tercicir dalam pelajaran.
Bagi ibu bapa, mereka mula mengenali tanda autisme apabila anak gagal berinteraksi dengan sempurna. Seawal bayi lagi, anak yang mempunyai masalah autisme tidak memberi tindak balas atau fokus kepada sesuatu benda dalam jangka masa yang lama. Kanak-kanak yang mempunyai autisme kelihatan seperti anak-anak normal namun mempunyai kekurangan komunikasi sosial.
Perkara ini diakui oleh Siti Hasma Ishak yang mula menyedari kekurangan anaknya Farhan Majidi, 4, ketika anaknya berusia dua tahun.
Pada usia yang sepatutnya dia sudah boleh bercakap, Farhan tidak mampu menyebut walau sepatah perkataan termasuk ibu atau ayah.
“Saya mengesyaki sesuatu yang ganjil pada Farhan apabila dia turut mengalami masalah pendengaran dan suka berjinjit kaki. Selepas berjumpa pakar kanak-kanak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), doktor memberitahu Farhan adalah kanak-kanak autisme dan memerlukan rawatan fisioterapi,” katanya.
Anak sulung daripada dua beradik ini juga seorang yang hiperaktif.
Dia gemar membaling barang dan berguling di lantai apabila kemahuannya tidak dipenuhi. Bagi meredakan keadaan Farhan, ibunya terpaksa memujuk dengan memegang dan menenangkan dirinya supaya dia tidak menjadi lebih agresif sehingga mencederakan dirinya.
Menurut Siti Hasma, memiliki anak autisme bermakna seorang ibu itu mempunyai tanggungjawab yang besar terutama daripada segi masa dan memberi sepenuh tumpuan kepada mereka.
“Oleh kerana mereka tidak mampu berkomunikasi dengan baik, kita tidak tahu apa yang ada dalam fikiran mereka. Oleh sebab itu kanak-kanak ini mudah memberontak, mengamuk dan membaling barang apabila kemahuan mereka tidak dituruti,” katanya yang sanggup berhenti kerja semata-mata mahu memberi sepenuh perhatian kepada Farhan.
Bagi mendapatkan gambaran yang jelas mengenai autisme, Siti Hasma banyak mendapatkan maklumat menerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) dan menghantar anaknya bagi mendapatkan pembelajaran di sana.
“Sejak Mei lalu saya menghantar anak ke Nasom dan Farhan mula menunjukkan perkembangan positif apabila mula menyebut perkataan walaupun kurang jelas. Dia juga mula memahami dan mengikut arahan,” katanya.
Bagi Siti Hasma, memiliki anak autisme melatih ibu menjadi lebih sabar dan sentiasa mensyukuri nikmat Tuhan.
Ibu bapa tidak boleh malu dan harus mendedahkan anak mereka sama seperti insan normal lain.
“Saya berharap Farhan dapat memiliki pendidikan sama seperti kanak-kanak lain.
Saya akan cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik kepadanya supaya dia tidak berasa rendah diri dan memikirkan mengenai kekurangan yang ada padanya,” katanya.
Bagi Mohammad Yusri Adam, 34, dan isterinya Nuraihan Hamsiah Abdul Salam, 33, mereka hanya mampu mengesan keistimewaan anaknya Muhammad Amar Lutfi, 6, ketika dia berusia dua tahun.
“Pada masa itu saya risau melihat Amar yang masih belum bercakap sedangkan rakan seusia sudah mampu bertutur lancar. Malah, untuk menyebut perkataan mama dan abah juga sangat susah,” katanya.
Selepas dibawa menemui pakar kanak-kanak di Johor, doktor memberitahu Amar termasuk di kalangan kanak-kanak penghidap autisme dan memerlukan pemantauan rapi.
Menurut Yusri, pada mulanya dia sukar menerima kenyataan.
Tambah pula apabila melihat wajah serta fizikal Amar yang tiada cacat celanya.
Dia sama seperti kanak-kanak normal cuma mempunyai tahap komunikasi yang sangat rendah selain seorang yang sangat aktif.
“Pernah satu ketika saya melihat Amar menyusun permainan dengan begitu cantik dan rapi sekali.
“Malah, dia mempunyai kebolehan dan sangat fokus pada sesuatu benda sehingga terlalu obses dengannya.
“Dia juga gemar melakukan perbuatan berulang-ulang seperti menghayun atau memusing-musingkan badan atau keadaan yang lebih berbahaya seperti menggigit atau menghantuk kepala. Saya tidak sangka ini adalah antara tanda autisme,” katanya.
Bagaimanapun, Yusri bersyukur kerana Amar mempunyai tahap autisme yang sangat rendah iaitu pada komunikasi saja.
Oleh itu dia berusaha sebaik mungkin membantu Amar dengan menghantarnya ke sekolah supaya dia tidak berasa rendah diri.
“Saya mempunyai beberapa pilihan sekolah, tetapi selepas mendengar nasihat doktor wsaya memilih Nasom kerana sistem pembelajaran di sana lebih bagus dan mereka memahami apa yang diperlukan kanak-kanak autisme,” katanya.
Melihat keadaan anaknya yang sering bertindak di luar dugaan, Yusri mengakui bapa harus sama membantu meringankan tugas isteri.
Sering kali tugas menguruskan kanak-kanak istimewa terletak di bahu isteri manakala suami lepas tangan.
“Sepatutnya suami isteri harus berganding bahu menjaga anak autisme. Memanglah jika diikutkan suami kurang sabar berbanding isteri.
“Jadi apabila anak suka memberontak dan membaling barang ada bapa yang tidak sabar. Pada masa inilah mereka harus belajar bagaimana menanganinya dan teknik memujuk anak-anak,” katanya yang turut membantu menjaga Amar ketika isteri melakukan kerja rumah.
Bagi Azlyn Aziz, 46, dia sanggup lakukan apa saja asalkan anaknya Noor Luqman Hakim Noorazli, 9, tidak merasa tersisih dan mempunyai keyakinan diri yang rendah.
Walaupun terpaksa mengeluarkan wang menghantar anak ke sekolah dan menjalani rawatan terapi, semua itu dipastikan supaya Luqman mampu berdikari dan belajar seperti rakan seusia dengannya.
Jika dulu dia kurang bercakap, manja, takut dan berperwatakan seperti bayi, kini selepas menjalani pembelajaran di Nasom, dia menunjukkan banyak peningkatan terutama daripada segi komunikasi.
“Apabila Luqman tidak boleh bercakap walaupun usia sudah menjangkau dua tahun, ini amat merisaukan saya. Tambah pula apabila dia tidak boleh menguruskan diri dan sukar memahami arahan.
“Selepas belajar di Nasom, dia kini semakin ceria, mesra dan boleh berkomunikasi. Perubahan ini amat menggembirakan saya,” katanya yang tidak ingin melihat Luqman dibeza-bezakan dengan kanak-kanak seusia dengannya.