Monday 28 November 2011

MINGGU TERBUKA PPKI (PERINGKAT SEKOLAH) SK.PEKAN SIPITANG 2011

Minggu terbuka PPKI SK.Pekan Sipitang merupakan salah satu program yang dirancang dan dilaksanakan sebagaimana yang telah terkandung dalam takwim tahunan PPKI bagi tahun 2011. 

Oleh itu, pada 5 hingga 6 April 2011, PPKI SK.Pekan Sipitang telah melaksanakan minggu terbuka PPKI (peringkat sekolah) yang melibatkan semua guru, PPM dan murid-murid PPKI serta murid tahun 4 aliran perdana.

Program ini dijalankan berdasarkan kepada beberapa objektif iaitu;

  1. Memperkenalkan dan memberi pendedahan serta penerangan kepada pelajar tahun 4 tentang murid pendidikan khas.
  2. Mengikis stigma dan pandangan negatif dalam diri pelajar kepada murid di pendidikan khas.
  3. Memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk mendekati dan berinteraksi secara langsung dengan murid pendidikan khas.
  4. Menerapkan dan meningkatkan keyakinan diri serta mengikis rasa malu dan rendah diri yang keterlaluan di kalangan murid pendidikan khas.
  5. Mengeratkan hubungan di kalangan guru dan murid di aliran perdana dengan guru dan murid pendidikan khas.

Murid-murid aliran perdana terlebih dahulu diberikan peluang untuk melihat keadaan ruang utama bangunan Pendidikan Khas.




Cikgu yang mengiring murid-murid aliran perdana sedang meneliti biodata murid PPKI.

Sesi lawatan murid-murid aliran perdana ke kelas Teratai semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan.

"Haii..." murid-murid aliran perdana dan PPKI saling melambai di antara satu sama lain.

Jangan segan-segan...tidak salah bersalaman. :) 


Melawat bilik tidur PPKI.

Murid-murid aliran perdana berjalan menuju ke kelas Cempaka dan Mawar.

Cikgu Mohd.Najib selaku penyelaras PPKI sedang memperkenalkan dan memberikan penerangan ringkas tentang murid-murid kelas Mawar kepada murid-murid aliran perdana.

Fitri yang sedikit malu-malu tetapi tetap memperkenalkan dirinya kepada rakana-rakan dari aliran perdana.


"Semua murid-murid kelas Cempaka juga merupakan atlet-atlet pendidikan khas yang pernah mewakili kontingen Sipitang ke sukan peringkat Zon Selatan pada tahun 2010 dan 2011," maklum Cikgu Mohd.Najib kepada murid-murid aliran perdana.

y


Sesi tayangan slaid kepada murid-murid aliran perdana.








Sunday 27 November 2011

KOKUM BULAN SABIT MERAH (BSMM) PPKI SK.PEKAN SIPITANG 2011

Sesi kokurikulum atau KOKUM buat kali pertama bagi sesi tahun 2011 Program Pendidikan Khas Integrasi SK.Pekan Sipitang telah dimulakan dan dilaksanakan pada 13 April 2011. 

Sekiranya aliran perdana menjalankan aktiviti kokum pada setiap sabtu, Kokum PPKI pula akan dijalankan pada setiap hari Rabu pada jam 11.30 hingga 12.30 pagi. 

Umumnya, kokum PPKI terbahagi kepada tiga iaitu Unit Beruniform Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) yang dikendalikan oleh Cikgu Walter merangkap guru KOKUM PPKI, Permainan Dalaman pula akan dikendalikan oleh Cikgu Mohd.Najib bin Mohd.Shafie dan kelab Bahasa Melayu akan dikendalikan oleh Cikgu Fauziah Banu binti Hussain. Ketiga-tiga jenis kokum ini akan dijalankan secara berselang-seli pada setiap hari Rabu masa persekolahan. 

Aktiviti Unit Beruniform BSMM merupakan pembuka kepada aktiviti kokum PPKI bagi sesi 2011. Sebagai pengenalan kepada BSMM, semua murid PPKI diberikan penerangan tentang sejarah ringkas dan logo BSMM oleh Cikgu Walter agar murid-murid PPKI lebih jelas dan faham tentang BSMM. 

Semua murid dikehendaki berdiri untuk menghormati lagu ketika menyanyikan lagu BSMM. 


Penerangan ringkas tentang BSMM kepada murid-murid PPKI.



Murid-murid PPKI menumpukan sepenuh perhatian ketika diberikan penjelasan lanjut tentang prinsip-prinsip BSMM.

Bukan sahaja murid-murid PPKI terlibat, guru-guru serta pembantu pengurusan murid (PPM) juga turut hadir bersama ketika sesi kokum dijalankan.

Tayangan klip video pendek tentang gambaran dan tanggungjawab BSMM dalam bentuk animasi.

Murid-murid diberikan tugasan iaitu melukis dan mewarnakan logo BSMM pada kertas kosong yang telah disediakan.

Melukis bulan sabit iaitu logo BSMM pada kertas kosong.


Melabel atau menamakan logo BSMM pada lembaran kerja yang telah diedarkan bagi murid-murid tahap satu iaitu murid-murid kelas Melati dan Teratai.

Murid-murid tahap satu kelas Teratai mewarna logo BSMM pada lembaran kerja yang telah diedarkan oleh guru.

LOGO BULAN SABIT MERAH MALAYSIA (BSMM)~ Adik Velston menunjukkan logo yang telah siap diwarnakan dan dilabelkan.




Secara keseluruhannya, aktiviti kokum unit beruniform BSMM telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang telah disasarkan. Boleh dikatakan hampir semua murid-murid PPKI dapat mengenalpasti logo BSMM dengan betul dan dapat memberikan penerangan secara ringkas tentang tujuan BSMM ditubuhkan. 



Friday 25 November 2011

MESYUARAT RANCANGAN PENDIDIKAN INDIVIDU (RPI) PPKI 2011

Mesyuarat Rancangan Pendidikan Individu (RPI) untuk murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi SK.Pekan Sipitang sekali lagi dilaksanakan untuk kali pertama bagi sesi 2011 pada 21 April 2011. Mesyuarat tersebut dikendalikan di Bilik Wawasan iaitu bilik mesyuarat SK.Pekan Sipitang bersama-sama dengan ibu bapa dan guru-guru PPKI.

Untuk mesyuarat RPI kali pertama ini, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK.Pekan Sipitang, Puan Rokiah binti Hj. Saria telah dijemput untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Senarai nama ibu bapa dan guru-guru PPKI pada buku kehadiran ke Mesyuarat Rancangan Pendidikan Individu PPKI sesi 2011.




Mesyuarat Rancangan Pendidikan Individu PPKI SK.Pekan Sipitang 2011.

En.Mohd Najib bin Mohd Shafie, Penyelaras PPKI memberikan penerangan ringkas tentang tujuan
mesyuarat tersebut dijalankan.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK.Pekan Sipitang, Puan Rokiah binti Haji Saria memberikan ucapan alu-aluan kepada ibu bapa dan guru-guru PPKI sebagai pembuka mesyuarat RPI tersebut.












Mesyuarat RPI kali pertama untuk sesi persekolahan 2011 berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang telah ditetapkan. Ribuan terima kasih ditujukan kepada ibu bapa yang sudi berkorban masa dan tenaga untuk hadir ke mesyuarat tersebut serta kepada guru-guru PPKI yang telah merancang dan membentuk RPI murid-murid PPKI dengan teliti dan mudah difahami oleh ibu bapa. 

RPI yang telah dirancang dan dibentuk oleh guru-guru PPKI berdasarkan kepada kelemahan dan kekuatan murid akan dilaksanakan berdasarkan kepada tempoh yang telah ditetapkan. Selepas tempoh tersebut, mesyuarat RPI bersama-sama dengan ibu bapa murid akan dijalankan sekali lagi untuk melihat sejauhmana keberkesanan RPI yang telah dirancang untuk tindakan lanjut.

Thursday 24 November 2011

PEMERIKSAAN GIGI MURID PPKI. 19 APRIL 2011.

Pada 19 April 2011, semua murid-murid SK.Pekan Sipitang terlibat dengan pemeriksaan kesihatan gigi termasuklah murid-murid PPKI SK.Pekan Sipitang. Pemeriksaan kesihatan gigi di kalangan murid tersebut adalah bertujuan untuk memeriksa keadaan gigi murid untuk tindakan lanjut sama ada perlu ditampal atau dicabut sekiranya perlu. 

Seawal jam 9 pagi, Dr.Budi Rahayu Tauhid iaitu doktor gigi dari hospital Beaufort yang ditemani oleh dua orang pembantu telah tiba dan bersedia untuk memeriksa gigi murid-murid PPKI SK.Pekan Sipitang.

Sesi pemeriksaan kesihatan gigi dimulakan dengan ceramah ringkas tentang cara menjaga dan membersihkan gigi oleh Dr.Budi Rahayu Tauhid di hadapan semua murid-murid PPKI pada sekitar jam 9.30 pagi.



Jururawat pergigian yang pernah mengunjungi murid-murid PPKI pada tahun lepas.

Alat mouth mirrors dan sickle atau contra-angled telah tersedia untuk
digunakan bagi memeriksa keadaan dan kesihatan gigi murid.

Peralatan pemeriksaan gigi yang umumnya boleh membuatkan murid gementar. 

Dr.Budi Rahayu Tauhid atau Dr.Rahayu yang mesra murid sedang memberikan penerangan
tentang cara membersihkan atau membersihkan gigi.


Adik Riduan yang berani tampil ke hadapan mendemonstrasikan cara memberus gigi dengan bantuan daripada Dr.Rahayu.



Setelah selesai sesi penerangan ringkas tentang cara menjaga kebersihan dan kesihatan gigi, semua murid-murid PPKI diarahkan untuk kembali ke kelas masing-masing dan menunggu giliran dipanggil berdasarkan kepada kad rawatan pergigian masing-masing.


"Eeeeeeee...!!!" Murid-murid kelas Mawar masing-masing tidak segan menayangkan gigi masing-masing.

Murid-murid kelas Melati dan Teratai di ruang menonton televisyen sementara menunggu giliran masing-masing untuk pemeriksaan gigi. 

Pada tahun lepas, terdapat beberapa murid PPKI yang enggan memberikan kerjasama yang baik semasa pemeriksaan gigi dilakukan oleh doktor gigi. Ini kemungkinan besar murid-murid tersebut berasa takut yang kemungkinannya disebabkan oleh sebab-sebab tertentu. 

Dr.Rahayu sedang memeriksa gigi adik Velston.

Tidak mau buka mulut pula dia.


Pegang mouth mirror sendiri... Dr.Rahayu yang cukup sabar melayan karenah adik Velston membiarkan Velston memegang sendiri alat mouth mirror tersebut sambil meneruskan pemeriksaan gigi.

Nasib baik gigi Velston sihat dan bersih. Doktor gigi pun puji. Tahniah Velston.
Dibandingkan dengan tahun lepas, adik Velston enggan memberikan kerjasama
yang baik semasa giginya diperiksa. Tahun ini walaupun sedikit memberontak,
pemeriksaan dapat dilaksanakan dengan baik. Walau bagaimanapun, mouth mirror 

tu kena kembalikan kepada doktor ok Velston, doktor punya tu. 

Gelagat adik Allan ketika pemeriksaan gigi dijalankan.

Adik Shaila yang selamba apabila giginya diperiksa tetapi celotehnya banyak pula sampai doktor
pun tersenyum-senyum mendengarnya. 

Giliran adik Seakilla pula giginya diperiksa.

Siap buka mulut besar-besar. Adik Bibi memang sporting pada sepanjang masa pemeriksaan gigi
dijalankan. Gigi kena cabut pun adik Bibi langsung tidak menangis.

Tahun ini adik Riduan dapat memberikan kerjasama yang baik semasa pemeriksaan gigi dijalankan.
Tahniah dan terima kasih, adik Riduan.

Giliran adik Roshan.

'Hero' PPKI dan juga atlet PPKI, adik Izzat ketika pemeriksaan gigi dilakukan oleh Dr.Rahayu.

Ustazah Siti Zubaidah yang bertugas memanggil murid mengikut giliran berdasarkan kad rawatan
pergigian murid.

Giliran adik Nasriq pula.

Sambil tengok kamera...adik Ateka tenang dan memberikan kerjasama
yang baik semasa pemeriksaan gigi dijalankan.

Si montel Adlin sedikit pun tidak rasa takut ketika pemeriksaan gigi dijalankan.

Macam menghayati pemeriksaan gigi pula. Adik Nouvir ketika giginya diperiksa.

"Nampaknya adik Diana kena jaga gigi dan rajin berus gigi," nasihat Dr.Rahayu.

Gigi adik Sazlan kurang bermasalah tetapi masih perlu rajin menjaga kebersihan gigi.




Keseluruhannya, kesemua murid PPKI memberikan kerjasama yang baik pada sepanjang pemeriksaan gigi dilakukan oleh Dr.Rahayu. Boleh dikatakan ini merupakan satu perkembangan yang baik dari segi keyakinan diri dan perlu dikekalkan dari semasa ke semasa memandangkan pemeriksaan gigi adalah wajib dilaksanakan pada setiap tahun. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua murid-murid PPKI.

Ribuan terima kasih juga kepada Dr.Rahayu yang mesra murid, cukup sabar, penyayang dan memahami keadaan serta sikap murid-murid Pendidikan Khas pada sepanjang pemeriksaan gigi. Walaupun ada murid yang agak sukar dikawal namun Dr.Rahayu sedikit pun tidak menunjukkan perasaan tertekan malahan tahu menyesuaikan diri dengan keadaan sekaligus menjalankan tugas pemeriksaan gigi dengan baik. Oleh itu, sekali lagi diucapkan terima kasih kepada Dr.Rahayu dan juga kepada pembantu-pembantunya yang sudi berkunjung ke PPKI SK.Pekan Sipitang dan menjalankan tugas dengan baik pada sepanjang pemeriksaan gigi pada hari tersebut.

Double peace. Kapas masih di mulut tetapi masih selamba.
Tahniah adik Bibi sebab tidak menangis ketika gigi dicabut.
Sekurang-kurangnya gigi buruk sudah dibuang kan? Lepas ni,
boleh mengunyah dan makan tanpa kesakitan lagi :)